Saturday, December 6, 2008

6 Disember 2006

Suatu hari bernama 6 Disember 2008
aku termanggu di hujung beranda
menghirup bayu sebelum senja
aku mencari kata yang bermakna
untuk mencoretkan kalimah yang datang
tanggal ini aku kembali ke lembah cahaya

pernah dua tahun lalu
ada embun gugur dari kolam mataku
aku tersedu namun tangisku senyum dalam terharu
kala itu emosiku berkata
ada hujan rahmat di luar bangunan
ingin kusapa langit
mengucap syukur padamu Ilahi
tapi langkahku tersekat
kerana dipangkuanku ada jasad yang mahu disusukan

6 Disember itu
embun dari hujung mataku laju berguguran
setitis mengenai pipinya
saat bibir mudanya menghirup susu yang manis
yang mengalir dari tubuhku

Tuhanku...anugerah apakah ini
yang tidak pernah kusedari
sehingga usiaku menginjak dewasa
dewasa dalam erti yang sebenar
anugerah yang tidak pernah kuminta penjelasan
daripada ibuku yang tak pernah meminta

fajar 6 Disember 2006pun tersenyum
seolah-olah dari ufuk kunampak sirnanya
kuharapkan setiap urat fajar yang menyingsing
semuanya untuk puteraku sayang
putera yang lahir dari tubuhku
benih cinta yang aku bajai
nun di sudut rahim

hari ini 6 Disember menerpa ke mukaku
sudah genap dua tahun kutinggalkan tarikh itu
tapi seakan semalam aku masih di kamar itu
ditemani sang penjaga yang diutuskan untukku

hari ini aku menoleh semula
catatanku pada selembar kertas merah
bahawa akan aku raikan tarikh ini
tapi janjiku terlepas dari genggaman
kubiarkan detik ini tanpa tanda
kerana ada malapetaka lain yang melanda

terharuku bertukar rona
ada ribut yang datang menderu
memusnahkan ruang bahagia
menukar 6 Disemberk menjadi duka

mujurlah ribut itu bukan untukku
kerana aku masih bersama jasad dipangkuanku dulu
jasad yang kini bertukar menjadi sang wira
yang tidak takut pada taufan
yang tidak gementar di lambung ke awan
aku cukup bahagia
satu rasa yang sangat ironi
buatmereka yang di lereng durjana
lereng yang menelan ramai saudaraku
saudara sebangsa
saudara senegara

untuk anak yang lahir tanggal ini
ingatlah
kebahagiaanmu mungkin kedukaan makhluk lain
hanya itu pesanku buatmu
sebelum kututup intonasi kataku di sini
yang tidak bernokhtah buatmu

pada 6 Disember ini
ingin kulukiskan potret hakiki
tanda sayang dan kasih dari rahim seorang ibu
selamat hari lahir anakku sayang
selamat datang menempuh cubaan

(dipetik daripada himpunan puisi kumpulan tiada nama)

No comments: