Thursday, November 27, 2008

teman hati

aku sering bertanya
siapakah teman hati
kalau secara selamba teman hati aku adalah puntung-puntung rokok
setiap sedutan tembakau masuk ke dada
asap-asap hitam itulah yang menemankan hatiku
masuk ke hulu hati, menyusup dan kemudian keluar semua ke rongga kerongkong
terhembus dan menciptakan kepulan asap putih bercampur kelabu ke ruang udara
aku tenang seketika membayangkan ada luahan telah kubiarkan bebas!

kusedut lagi, kali ini kutelan dalam-dalam
kemudian kuhembus jauh-jauh, biar ia lepas pergi
sampailah puntung rokok itu makin pendek
habis, dan puntung baru menanti untuk aku nyalakan
rokok itu ibarat pelita...cuma tak menyala
baranya sahaja yang dapat dilihat
apinya bersembunyi dalam dada
cuma asapnya sahaja yang bermaharajalela keluar berkepul-kepul

aku bertanyakan diri sendiri
siapakah teman hati
hatiku membisikkan intonasi sepi
katanya, ia sunyi
sesunyi malam tanpa bintang
sesunyi fajar tanpa pagi
yang ada cuma semilir angin
yang bertiup tanpa desir

kucapai puntung demi puntung
masih tidak kutemui jawapan
dari kejauhan ada suara melarang
tapi tidak kuendahkan
aku berdiam dengan jutaan kata yang tidak terucap
aku membisu dengan ribuan alasan tidak bertepi

saat ini aku masih tertanya-tanya
siapakah teman hati
masih tidak kutemui...
aku teringatkan sejadah yang lama terbiar
ingin aku sujud kepadaNya
ingin aku membilang nama Tuhan
tapi aku sering lalai
adakah ini punca hatiku sepi...

aku menahan sebak...mengharap fajar esok tidak sesunyi pagi ini

(putrisuezz 27 Disember 4.40 petang)

Monday, November 17, 2008

puteraku pun mula berkata

Hari-hari yang kulalui tidak pernah sunyi
kenapa hari in baru kusedar
kenapa tidak semalam atau kelmarin
nasib baik tidak esok ataupun lusa

Mulanya melihat si kecil baru belajar tersenyum
seketika kemudian tangannya mengoleng-oleng
bibirnya muncung terjuih, dalam hati aku berkata 'mungkin lapar si asyraf ini'
benar, itu isyaratnya
saat puting susu singgah di bibir, cepat disambarnya
sama tak ubah seperti anak burung yang ternganga-nganga menanti ulat dari paruh sang ibunya

Aku masih ingat
selepas hampir dua bulan di Terengganu
kamipun pulang semula ke rumah di Desa Aman
aku mula menggeledah bungkusan hadiah untuk si kecilku
kujumpa sejenis mainan
kukira lebih mudah untuk melekakan si kecilku kala aku sibuk untuk mandi atau sebagainya
usianya baru dua bulan tapi mata dan bibirnya seperti hendak berkata 'seronoknya dapat main'
bukan main lagi seronoknya dia, diberi mainan warna-warni
si dinosour warna hijau, kuning dan jingga itu seperti temannya

Kemudian dia yang intim kusapa asyraf sudah pandai merangkak
melompat satu tangga tumbesarananya
kerana tidak melalui proses menginsuk selepas pandai meniarap
serata rumah dijelajahnya
seumpama dialah yang paling berkuasa sampai lebam lututnya
tidak dia peduli

Sayang, kasih dan rindu
usah dikira, dihitung atau dicatit dengan biru dakwat dari tujuh lautan sekalipun
masih tidak cukup untuk mempuisikan mutiara kata aku untuknya
walaupun aku bukan ibu yang sempurna
selalu tinggal-tinggal si anak dek leka bekerja
tapi sayang dari cakerawala dadaku ini hanya untuk dia...